Monday, July 27, 2009

India lancar kapal selam kuasa nuklear

India hari ini melancarkan kapal selam berkuasa nuklearnya yang pertama dengan keupayaan untuk melancarkan peluru berpandu balistik, sekali gus melengkapkan persenjataan nuklear negara ini meliputi darat, udara dan laut. Kapal selam Arihant (Pemusnah Musuh) seberat 6,000 tan itu adalah yang pertama daripada dua kapal selam serupa yang dibina sendiri oleh India dengan bantuan teknikal dari Rusia. Arihant akan menjalani ujian di laut sebelum ditauliahkan secara rasmi pada 2015, kata pegawai pertahanan. Projek itu adalah sebahagian daripada pelan bernilai AS$2.9 bilion (RM10.44 bilion) untuk membina lima kapal selam, yang tertangguh bertahun-tahun disebabkan masalah teknikal. Negara ini sudah pun memiliki jet pejuang dan peluru berpandu yang berupaya membawa senjata nuklear. Pakar pertahanan berkata, India dalam proses memodenkan angkatan bersenjatanya dengan fokus menaikkan taraf tentera lautnya dengan kapal dan kapal selam baru bagi mengimbangi kepentingan strategik China di rantau ini. China ialah rakan dagangan India yang terbesar di Asia, tetapi New Delhi bimbang jiran gergasinya itu mahu mengepung India secara strategik kerana Beijing terus membekalkan senjata kepada Pakistan dan Sri Lanka. Serangan militan di Mumbai pada tahun lepas, dilancarkan oleh 10 lelaki bersenjata yang tiba di negara ini mengikut jalan laut untuk membunuh 166 orang turut mendedahkan kelemahan ketara dalam kawalan keselamatan maritim. "Laut menjadi semakin relevan dalam konteks kepentingan keselamatan India dan kita perlu menyesuaikan tahap kesediaan tentera kita mengikut perubahan persekitaran ini," kata Perdana Menteri, Manmohan Singh selepas melancarkan kapal selam tersebut di bandar pelabuhan Vishakhapatnam, selatan India. India mempunyai 16 kapal selam berkuasa diesel-elektrik buatan Rusia dan Jerman, kesemuanya berusia 25-40 tahun, kata pegawai pertahanan. Arihant dilaporkan boleh membawa 100 anak kapal serta pelbagai jenis torpedo dan peluru berpandu balistik.

No comments:

Post a Comment