Thursday, December 9, 2010

Economist Intelligence Unit Predicts BN To Lose More Seats

The Economist meramalkan Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum tergempar yang diura-urakan akan diadakan pada suku pertama tahun depan, antara lain disebabkan kemerosotan sokongan kalangan pengundi Melayu muda dan yang moderat. Laporan Economist Intelligence Unit juga menggariskan kekecewaan di kalangan golongan muda yang semakin meningkat dengan sikap UMNO dilihat terus diselubungi skandal politik dan begitu kuat mengembangkan nilai-nilai Islam.Semalam, ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah turut menyifatkan peluang BN untuk memperoleh kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-13 sememangnya “sukar” kerana terpaksa berhadapan dengan pengundi semasa yang sudah banyak berubah citarasa. Justeru Tengku Razaleigh mengingatkan BN yang mengadakan konvensyen sehari semalam supaya tidak terlalu yakin untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 kerana sehingga kini masih tiada jaminan gabungan 13 parti komponen itu boleh mendapat kemenangan besar. Tengku Razaleigh telah memainkan peranan besar bagi BN memperoleh kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Galas pada pilihan raya kecil diadakan awal bulan lalu.“Kemungkinan besar keputusan pilihan raya umum akan datang ialah BN akan kalah lebih banyak kerusi memandangkan pengundi muda Melayu, yang moderat, kecewa dengan skandal-skandal politik dan UMNO yang dilihat kuat menggalakkan nilai-nilai Islam, enggan memberi sokongan mereka kepada parti yang memerintah,” kata majalah itu dalam laporan edisi terbaru Disember mengenai Malaysia.Bulan lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan BN, dimana parti terasnya UMNO, akan merampas balik satu atau dua negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, tetapi kemungkinan tidak akan memperoleh balik majoriti dua pertiga di Parlimen. Laporan itu juga menekankan bahawa golongan Melayu liberal dan kelas pertengahan sudah pun beralih daripada parti Melayu terbesar itu untuk menyokong Pakatan Rakyat atau pembangkang di peringkat persekutuan.“Meskipun pengundi-pengundi muda di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia terus menyokong Umno, sejumlah pengundi dalam jumlah yang signifikan di kalangan golongan Melayu berpelajaran, kelas pertengahan beralih daripada parti Melayu yang memerintah untuk memihak pembangkang,” kata laporan itu. Bagaimanapun laporan itu juga menyebut Pakatan Rakyat kemungkinan akan gagal untuk menawan Putrajaya walaupun boleh menerokai kejayaan lebih baik berbanding 2008.“Pakatan Rakyat akan memperoleh kejayaan, walaupun akan berhadapan dengan masalah dalaman selepas kemungkinan Anwar dikeluarkan daripada arena politik, tetapi perikatan pembangkang tidak mungkin akan memperoleh kerusi secukupunya untuk membentuk sebuah kerajaan (persekutuan),” kata laporan itu.Malah laporan itu juga meramalkan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disabitkan kesalahan berhubung tuduhan liwat kedua yang sedang dihadapinya. Meskipun banyak pihak membuat spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum pada Mac 2011, laporan Economist Intelligence Unit masih kekal dengan hujahnya bahawa beliau hanya akan menetapkan tarikh itu selepas pilihan raya negeri Sarawak, yang mandatnya akan berakhir Julai 2011.“Kami masih percaya bahawa Najib akan menetapkan tarikh pilihan raya selepas pilihan raya negeri Sarawak.“Keputusan pilihan raya negeri Sarawak akan menyediakan petanda baik mengenai sokongan bagi kerajaan dan pelan pembaharuannya,” kata laporan itu lagi.Minggu lalu UMNO juga memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan dipercayai sebahagian besar daripada usahanya menghadapi pilihan raya umum ke-13.

No comments:

Post a Comment